Pesta Song

Tarikh: 22-24 oktober 2010

Tempat : Pekan Song

Pesta Song merupakan temasya mesra rakyat ternyata tercapai dengan penyertaan masyarakat berbilang kaum dalam setiap pertandingan yang diadakan. Pesta ini diadakan dengan tujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Song, melalui penganjuran aktiviti-aktiviti riadah yang lebih bermanfaat dan berfaedah serta mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat, malah secara tidak langsung dapat mengamalkan cara hidup sihat.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti sukan rakyat, pertandingan bola sepak, pertandingan regatta, persembahan daripada artis terkenal Iban serta pembukaan gerai-gerai jualan dan pameran.

Tetamu VIP & Penyampaian  Hadiah Pesta Song

Aktiviti Pesta Song

Gerai & Pameran Pesta Song

 

 

Taman Hidupan Liar Lanjak-Entimau

Taman Hidupan Liar Lanjak - Entimau, di barat daya Sarawak, terletak bersebelahan dengan sempadan antarabangsa Indonesia meliputi bahagian Sri Aman, Sibu, Sarikei dan Kapit. Seluas 187,000 hektar, taman hidupan liar ini pada asalnya dibentuk sebagai hutan lindungan pada 1940 dan kemudiannya diwartakan sebagai taman hidupan liar pada 1983 yang berfungsi khasnya sebagai hutan simpan bagi orang utan.Bentuk muka bumi di taman hidupan liar ini adalah berceranggah dan berbukit-bukau curam yang kebiasaanya mencapai ketinggian lebih daripada 300m. Cerun curam dengan lembah berbentuk V mendominasikan kawasan itu. Ia mempunyai tiga puncak tinggi iaitu Bukit Lanjak (1,284m), Bukit Entimau (975m) dan Gunong Spali (966m). Ia juga merupakan kawasan tadahan air yang penting dengan Sungai Ensirieng, Mujol, Poi, Ngemah, Katibas, Bloh, Apoh dan Kanowit mengalir melalui kawasan ini.Daripada kaji selidik kepelbagaian biologi, taman hidupan liar ini diketahui memiliki 2,807 spesis tumbuhan vaskular, 218 spesis tumbuhan ubat, 158 spesis buah-buahan hutan, 108 spesis sayur-sayuran hutan, 500 spesis kulat, 42 spesis liken, 6 spesis primat, 48 spesis mamalia kecil, 235 spesis burung, 73 spesis reptilia dan amfibia, 82 spesis ikan dan 1,053 spesis serangga. 

Pada tahun 1990, Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa [International Tropical Timber Organisation (ITTO)], memberikan cadangan bahawa Taman Hidupan Liar Lanjak - Entimau dibangunkan sepenuhnya sebagai Kawasan Lindungan. Pembangunan ini adalah mustahak untuk memulihara kepelbagaian biologi tropika kerana kekayaan flora dan faunanya; serta hubungannya yang rapat dengan Taman Negara Bentung Kerihun di Kalimantan Barat, Indonesia. Selain itu, projek ini juga bertujuan untuk menyokong kehidupan berkekalan dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan ini.Selaras dengan cadangan itu, pada tahun 1993, kerajaan Sarawak mewujudkan kerjasama antara sempadan dengan kerajaan Indonesia untuk membangunkan Lanjak - Entimau/Bentung Kerihun sebagai kawasan lindungan sepenuhnya dengan ITTO berfungsi sebagai pemangkin dan fasilitator. Penggabungan dua kawasan ini mewujudkan kawasan seluas 1.1 juta hektar yang merupakan kawasan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan tropika antara sempadan (transboundary biodiversity conservation area - TBCA) terbesar di Borneo dan juga antara yang terbesar di dunia.TBCA ini ialah taman hidupan paling penting di Borneo untuk 3,000 ekor orang utan, iaitu lebih kurang 10% daripada populasi spesis itu di dunia, serta spesis haiwan dan tumbuhan yang jarang ditemui dan terancam. Kemasukan ke Taman Hidupan Liar Lanjak - Entimau adalah sukar dan terkawal di beberapa pintu masuk seperti Lubang Baya, Engkari, Skrang, Ngemah, Poi dan Katibas; serta dihadkan untuk tujuan penyelidikan dan pemuliharaan sahaja. Kebenaran mesti diminta secara bertulis daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak.

Antara spesies haiwan dan tumbuhan yang terdapat di Hutan Simpanan Lanjak Entimau:-

 

Keistimewaan Daerah Song

  

KEBUDAYAAN

MITOS CERITA PERAYAAN GAWAI

AMALAN ritual yang masih dipertahankan masyarakat pribumi sering menjadi tarikan serta mengundang pelbagai interpretasi. Mesej atau maksud tersirat dalam setiap amalan ritual jika diperhalusi dan menterjemah nilai dan keunikan kelompok etnik. Tanda bersyukur dengan kenikmatan yang diberi seperti simbol kasih sayang sesama insan dan kepercayaan kepada Tuhan misalnya, menjadi perlambangan untuk pelbagai amalan ritual yang diperturunkan masyarakat pribumi zaman-berzaman.

Bagi kelompok pribumi yang giat mempertahankan keunikan amalan ritual, tradisi ini dilakukan tanpa jemu. Ketika dunia berdepan dengan krisis modenisasi hingga terhakisnya budaya dan identiti bangsa, amalan ritual kumpulan etnik sekurang-kurangnya mengingatkan manusia terhadap sejarah, asal usul dan warisan bangsa.

Berteraskan elemen sama, setiap kali tibanya Jun, masyarakat Dayak yang merangkumi suku Iban, Bidayuh dan orang Ulu di Sarawak meraikan tradisi perayaan Gawai dengan penuh tertib dan keseronokan.

Bagi masyarakat Dayak, padi dianggap sinonim dalam kehidupan harian. Amalan berbudi kepada tanah melalui tanaman padi bukan semata-mata meneruskan kelangsungan hidup, sebaliknya memiliki falsafah tersendiri. Tidak hairanlah, perayaan Gawai disambut rasmi setiap 1 Jun oleh masyarakat Dayak di Sarawak kerana kaitannya dengan penanaman padi dan pesta menuai.Sejak dari dulu lagi, kaum Iban menghargai padi. Malah, perayaan Gawai dikatakan bermula daripada beberapa cerita rakyat berkaitan makanan ruji masyarakat Asia itu.Mengikut mitos, cerita perayaan Gawai bermula apabila sepasang suami isteri zaman dahulu, bermimpi diarahkan mencincang bayi mereka. Ketika itu, manusia di bumi dikatakan menghadapi masalah kehabisan sumber makanan.Dijadikan cerita, si isteri mendapat petunjuk melalui mimpi bahawa dewa Iban bernama Keling meminta bayi mereka dijadikan korban. Akibat terdesak dengan masalah kekurangan sumber makanan untuk hidup, pasangan suami isteri itu akhirnya menurut perintah dewa lalu menabur isi bayi mereka ke tanah.Perayaan Hari Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Pada Hari Pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.

Perayaan Gawai Di Daerah Song 2015
 
 
Upacara Miring 
  
 
Persediaan Upacara Miring dijalankan setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Salah satu acara paling menarik semasa Perayaan Gawai ialah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Ketika Perayaan Gawai, perhiasan tradisional orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamerkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.  

 

Kesenian Tarian Ngajat sangat popular dalam kalangan orang Iban di Sarawak

Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Tarian ini adalah tarikan iaitu dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan adalah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh. Satu jenis tarian ini lagi ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.

Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar.

Peralatan muzik tradisional masyarakat Iban adalah terdiri daripada tawak (gong), bendai dan gendang. Peralatan muzik tersebut digunakan semasa melakukan tarian ngajat. Di samping itu, peralatan muzik itu juga turut digunakan semasa melakukan beberapa upacara adat resam, antaranya ialah upacara perkahwinan, semasa pindah ke rumah panjang yang baru dan semasa upacara menamakan anak.

Tarian Ngajat Masyarakat Iban